widgets

KOMEN ANDA???

Friday, July 29, 2011

KETIKA DISAPA IZRAIL



KEHIDUPAN manusia di dunia sentiasa diwarnai aneka versi hati. Tidak kurang yang membiarkan hati diserang virus penyakit sehingga menggelapkan sekali gus menjerumuskan diri dalam dominasi sifat mazmumah.

Islam menegah umatnya bersifat iri hati, berdengki, suka khianat, bercakap bohong dan berdendam. Semua sifat keji itu tidak harus menyelubungi lubuk hati. Jadi, bagaimana kita dapat merawat hati sedemikian?

Banyak kaedah digariskan Islam dalam menangani hati berpenyakit, antara yang terbaik dan sepatutnya kita selalu amalkan ialah mengingati mati. Inilah terapi agung yang boleh memulihara hati daripada gelap dan kotor kepada hati suci bersih.

Mengingati mati bermakna kita ingat akan untung nasib di akhirat. Menyentuh hal ini, Imam As-Syafie ada berpesan: “Perbanyakkanlah menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal keduniaan, perbanyakkanlah menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.”

Khalifah Umar Abdul Aziz ada berpesan yang baik untuk kita jadikan panduan dalam melalui kehidupan dunia dengan banyak mengingati hari mati.

Katanya: “Dunia bukanlah kediaman abadi kalian. Allah telah menetapkan dunia sebagai alam yang fana, Allah juga telah menetapkan kesukaran kepada penghuni dunia selama hidup di dunia. Berapa banyakkah bangunan yang baru dibina sudah hancur? Berapa banyakkah orang yang hidup mewah dan kemudian hidup melarat? Kaum muslimin yang dimuliakan Allah, persiapkanlah bekalan kalian untuk mengharungi perjalanan untuk menuju akhirat. Bekalan yang terbaik adalah ketakwaan. Dunia hanyalah persinggahan sementara bagi manusia. Seseorang mukmin itu seharusnya memiliki salah satu daripada dua keadaan, iaitu pertama, bersikap seperti orang asing yang tinggal di negeri asing dan impiannya adalah untuk pulang ke negeri asalnya. Kedua, bersikap seperti seorang musafir yang tiada tempat tinggal tetap, siang dan malam baginya adalah perjalanan menuju ke kampung halaman.”

Panjang dan padat khutbah Umar Abdul Aziz itu, tetapi tersurat dan tersirat makna yang boleh menjernihkan mata hati kita menyusuri alam kehidupan di dunia ini.

Begitu juga pesanan tokoh ulama silam, Abdullah bin Dawud yang mengatakan: “Apabila ada di antara kaum Salaf sudah menjangkau umur 40 tahun, ia mulai ‘melipat tilam’ iaitu tidak akan tidur sepanjang malam. Mereka selalu menunaikan solat, bertasbih dan beristighfar serta mengejar segala perkara yang tertinggal pada umur sebelumnya dengan amalan kebaikan pada hari sesudahnya.”

Inilah contoh golongan mukmin yang sentiasa mengingati hari kematiannya dan selalu takut berakhirnya hayat di badan dengan kekurangan amal ibadah serta amalan kebajikan.

Mukmin yang hatinya sentiasa mengingati kematian sudah tentu akan mengisi agenda kehidupan dengan bermuhasabah diri untuk meninjau segala dosa serta kecacatan pernah dilakukan. Hati mereka tentu sekali akan dipaut untuk melakukan transformasi ke arah sifat mahmudah dan sentiasa menyukai kebaikan.

Abu Hazim Salamah bin Dinar ada berpesan: “Kekayaan menuju akhirat amat sedikit. Oleh itu, perbanyakkanlah kekayaan itu apabila ia semakin berkurangan dan terhakis kerana suatu hari nanti kita tidak lagi memiliki kekayaan itu walaupun hanya sedikit, apatah lagi banyak.”

Setiap hari berlalu bermakna hari kematian semakin menghampiri. Jika kehidupan kita masih tidak berubah ke arah kebaikan bermakna kita mempunyai petanda lupakan kematian dan lupakan alam akhirat.

Dalam hal ini, ada baiknya kita hayati mutiara kata Yahya bin Muadz: “Sesungguhnya aku hairan melihat orang yang bersedih kerana hartanya berkurangan, tetapi tidak bersedih apabila umurnya berkurangan.”

Dalam satu khutbah, Umar Abdul Aziz dalam keadaan sebak dan menangis ada mengatakan kepada rakyatnya: “Wahai kaum muslimin. Sesungguhnya kalian diciptakan untuk suatu urusan. Jika kalian mempercayainya bererti kalian bebal. Jika kalian mendustakannya bererti kalian binasa. Kalian diciptakan untuk suatu keabadian, namun berpindah daripada suatu alam ke alam lain. Wahai hamba Allah.

Kalian kini berada di alam yang mana makanan kalian boleh menyebabkan kalian tersedak dan minuman kalian boleh menyebabkan kalian kembung. Tidak ada nikmat murni yang menggembirakan hati, kecuali ketika kenikmatan itu pergi akan menyebabkan hati tidak tenang. Maka beramallah sesuai dengan tuntutan takdir untuk menuju ke alam keabadian.”

Demikian peringatan dan pesanan tokoh ilmuwan Islam dulu berkenaan pentingnya menjalani kehidupan di dunia dengan membawa bekal untuk akhirat. Sekali gus memberi makna bahawa kita seharusnya sentiasa ingat kepada saat kematian.

TANDA-TANDA KEMATIAN UNTUK ORANG ISLAM

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya.

Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat. Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

WALLAHUA`LAM


No comments:

Post a Comment